Indeks dolar terus menunjukkan penyusutan lebih rendah pada sesi Eropah setelah data terbaru yang diterbitkan meredakan kebimbangan pasaran terhadap inflasi, sekali gus menghentikan kenaikan hasil bon AS.
Hasil perbendaharaan AS kekal sebagai pemacu utama kepada sentimen pasaran. Lelongan bon 10 tahun pada hari Rabu menyaksikan permintaan yang cukup untuk mendorong hasil lebih rendah dan greenback juga susut bersamanya.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama lain didagangkan menyusut pada 91.55.
Dewan Perwakilan AS telah meluluskan rang undang-undang pakej rangsangan $1.9 trilion yang seterusnya akan ditandatangani oleh Presiden Joe Biden pada hari Jumaat. Sementara itu, pihak pentadbiran dilaporkan sudah mempertimbangkan rang undang-undang infrastruktur yang lebih besar lagi, iaitu kira-kira $2.5 trilion.
Susulan dari pelepasan pakej rangsangan, sentimen pasaran kembali meningkat dan menyokong dagangan matawang utama untuk diniagakan lebih tinggi berbanding US dolar.
Dolar Aussie, kiwi dan Kanada meneruskan kenaikan untuk sesi ketiga berturut-turut, dengan melonjak ke paras tertinggi satu minggu berbanding US dolar, selain turut dibantu oleh peningkatan harga komoditi.
Sementara matawang pound mencatatkan peningkatan sederhana disebabkan pelabur yang mengambil langkah berhati-hati menjelang penerbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi bulan Januari pada hari Jumaat.
Dalam pada itu, matawang euro diniagakan lebih kukuh menjelang mesyuarat polisi ECB malam ini, dengan pergerakan harga menuju paras 1.20000 berbanding US dolar.