Ekonomi zon eropah catat prestasi yang kurang memberangsangkan apabila laporan terkini anggaran awal menunjukkan ekonomi zon eropah menguncup pada suku keempat. Walaubagaimanapun ia dilihat sedikit lebih baik kerana bacaan kurang dari jangkaan yang diramalkan oleh ahli ekonomi. Di tambah pula lanjutan dari pengetatan kawalan pergerakan di suku pertama tahun ini, ekonomi zon eropah dijangka akan lebih curam.
Jabatan Perangkaan Kesatuan Eropah (EU), Eurostat melaporkan anggaran awal bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) jatuh sebanyak 0.7% dari suku ke suku dan 5.1% setahun. Bacaan ini walaubagaimanapun kurang dari jangkaan pakar ekonomi yang mensasarkan 1.0% pada suku keempat 2020 dan penguncupan tahunan sebanyak 5.4%.
Menurut pakar ekonomi di Commerzbank, Christoph Weil ekonomi zon Eropah dijangka akan mencatat penguncupan namun kejatuhan tersebut tidaklah seperti yang terjadi pada separuh pertama tahun 2020. Sebaliknya, pemulihan yang ketara kemungkinan akan berlaku bermula akhir suku pertama.
Data awal Eurostat menujukkan negara Eropah yang memiliki ekonomi terbesar pada tangga kedua dan ketiga iaitu Perancis dan Itali masing-masing catat prestasi yang lemah dengan penurunan dalam KDNK sebanyak 1.3% dan 2.0%. Sementara itu KDNK negara Jerman dan Sepanyol masing-masing meningkat sebanyak 0.1% dan 0.4% dari suku ketiga.
Secara keseluruhan pakar ekonomi berpendapat bahawa kemerosotan suku keempat lebih rendah daripaada separuh pertama tahun 2020 kerana telah ada penyesuaian dalam berhadapan langkah ‘lockdown’.
Matawang Euro meneruskan penyusutan daripada dagangan pasaran Eropah sebanyak 0.15% kepada paras tukaran 1.2041 setakat jam 9.15 p.m.