Salah satu pertukaran desentralisasi (DEX) terbesar Ethereum, SushiSwap meluaskan rangkaiannya di platform kewangan desentralisasi (DeFi), Avalanche.
Kehadiran SushiSwap dalam ekosistem itu secara tidak langsung dapat membantu Avalanche untuk terus mengukuhkan penawaran DeFi dan pada masa yang sama bersaing dengan Ethereum.
Ketika penulisan, SushiSwap mencatatkan jumlah nilai terkunci (TVL) sebanyak $4.47 bilion, berada kedudukan keempat selepas Maker, Compound dan Aave.
Integrasi ini akhirnya dapat membenarkan pengguna menjalankan penukaran sama seperti bersama SushiSwap di Ethereum tetapi pada kos yang rendah dengan transaksi pantas.
Awal Februari, Avalanche telah melancarkan Avalanche-Ethereum Bridge (AEB) bersama Ethereum. Ini bermakna, semua aset DeFi seperti Chainlink (LINK), Aave dan Wrapped Bitcoin (WBTC) sudah tersedia di rangkaian itu.
Sejak pelancaran itu, aktiviti kontrak pintar di Avalanche telah melonjak tinggi dengan jumlah transaksi meningkat 1,051% kepada lebih 626,000 dan wallet unik meningkat 1,752% kepada 39,000.
SushiSwap dilancarkan pada Ogos 2020, terkenal sebagai klon Uniswap dalam industri DeFi. Pertukaran itu semakin berkembang, mengatasi Uniswap berdasarkan TVL.
Uniswap ketika penulisan berada selepas SushiSwap dengan TVL mencecah $4.08 bilion.