Logam berharga emas mendapat sokongan untuk kembali meningkat dengan dorongan daripada dagangan US dolar yang lemah pada awal sesi dagangan Khamis.
Dolar greenback terus tertekan di tengah sentimen positif dalam pasaran yang mengangkat dagangan matawang utama meningkat ke paras ketinggian bulanan.
Jangkaan bahawa Federal Reserve (Fed) akan mengekalkan kadar faedah di tahap yang rendah lebih lama dari dijangkakan juga melemahkan dagangan US dolar.
Dua orang pembuat dasar Fed pada hari Rabu mengatakan, walaupun bank pusat akan mula mengurangkan langkah rangsangannya, tetapi ia terlalu cepat untuk meningkatkan kadar faedah.
Ini menyebabkan pasaran bimbang bahawa langkah pelonggaran akan dipertahankan lebih lama, lebih-lebih lagi setelah diperlihatkan dengan undian terbaru dari Reuters yang menunjukkan majoriti penganalisis berpendapat Fed akan menunggu sehingga 2023 sebelum bertindak naikkan kadar.
Pada sesi Asia, logam kuning itu didagangkan menokok pada $1,788 per auns, kembali meningkat lebih tinggi selepas menjunam rendah pada akhir dagangan minggu lalu. Sementara niaga hadapan emas pula sedikit meningkat pada $1,787 per auns.
Walaupun begitu, kenaikan yang dicatatkan sedikit terbatas ketika hasil perbendaharaan 10 tahun AS meneruskan peningkatan di tahap tertinggi empat bulan pada 1.66%.