Harga emas melonjak ke paras ketinggian dua minggu menyusuli penurunan ketara yang dicatatkan US dolar, ketika kebimbangan terhadap coronavirus terus menyokong permintaan logam kuning itu.
Pada sesi Asia, spot emas menguat di sekitar harga $1,803 per auns selepas meningkat lebih 1% pada sesi sebelumnya, sementara niaga hadapan emas pula didagangkan pada $1,805 per auns.
Bacaan data PMI pembuatan dan perkhidmatan yang menunjukkan pertumbuhan perlahan meningkatkan kebimbangan bahawa varian delta telah memperlambatkan pemulihan ekonomi di Amerika Syarikat.
Ini sekali gus menambah tekanan pada US dolar, selepas terkesan oleh spekulasi bahawa Federal Reserve (Fed) akan menangguhkan rancangan untuk menarik semula rangsangan mereka disebabkan ketidakpastian yang ditimbulkan oleh varian delta.
US dolar berundur dari paras ketinggian 9 setengah bulan berbanding matawang utama, sekali gus memberi peluang kepada harga emas untuk meningkat lebih tinggi.
Para pelabur kini menantikan ucapan Pengerusi Jerome Powell di simposium Jackson Hole pada hari Jumaat ini, untuk mendapatkan petunjuk lanjut mengenai bila Fed akan kurangkan pembelian bon.