Harga emas susut semula ketika dolar greenback dan hasil perbendaharaan AS 10 tahun kembali mendapat sokongan untuk meningkat pada awal dagangan sesi Asia.
Logam berharga emas telah menunjukkan kenaikan yang lebih tinggi pada Isnin, dengan harga mencapai paras tertinggi hampir dua minggu pada $1,770 per auns.
Namun harga kembali susut selepas US dolar kembali memaparkan kenaikan ketika pasaran menantikan penerbitan beberapa data utama AS pada minggu ini yang boleh mempengaruhi garis masa untuk rancangan pengurangan pembelian bon oleh Federal Reserve (Fed).
Pergerakan harga emas dijangka akan terus tidak menentu memandangkan pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pengeluaran laporan pekerjaan NFP pada Jumaat.
Data PMI perkhidmatan pada malam ini akan diperhatikan terlebih dulu oleh pelabur untuk dijadikan petunjuk kepada NFP yang bakal diterbitkan.
Pengerusi Jerome Powell sebelum ini mengatakan ia akan menilai bacaan data pekerjaan minggu ini sebelum memulakan langkah pengurangan rangsangannya ketika berucap di hadapan Kongres pada minggu lalu.
Ketika penulisan, spot emas didagangkan susut di sekitar harga $1,760 per auns, manakala niaga hadapan emas pula diniagakan pada $1,761 per auns.