Dagangan emas terus diheret ke lautan merah menyebabkannya menjunam ke paras terendah 7 bulan pada $1,761 per auns ketika sesi Asia. Kejatuhan ini mengakibatkan emas mengalami minggu terburuknya sejak akhir November 2020.
Pada pembukaan sesi Eropah, emas didagangkan lemah dengan diniagakan di sekitar $1,771 per auns, sementara niaga hadapan emas pula susut rendah pada $1,769 per auns (3.00 petang waktu Malaysia).
Hasil bon AS 10 tahun kekal tinggi walaupun mencatatkan sedikit penyusutan menjelang dagangan hujung minggu yang menyebabkan US dolar turut mengurangkan keuntungan.
Penurunan emas tetap berlaku walaupun terdapat peningkatan yang tidak dijangka dalam data tuntutan pengangguran AS minggu lalu.
Logam berharga emas semakin hilang daya tarikannya sebagai aset safe-haven berikutan keyakinan pasaran yang meningkat terhadap pertumbuhan ekonomi AS dan global lebih kuat dipacu oleh pelancaran vaksin dan perbelanjaan kerajaan yang lebih besar.
Keyakinan ini telah mendorong hasil perbendaharaan AS jangka panjang untuk meningkat lebih tinggi dan mencecah paras tertinggi hampir satu tahun pada awal minggu ini.
Logam berharga lain juga mengalami kerugian pada hari Jumaat. Perak turun 0.6%, setelah susut rendah sebanyak 1.8%, tahap terburuk sejak pertengahan Januari 2021. Sementara platinum merosot 0.7%, ketika harga menuju kenaikan ketiga mingguan berturut-turut, dan paladium pula turun 0.3%.