Mengujakan apabila dua matawang kripto utama dunia, Ethereum (ETH) dan Bitcoin (BTC) berjaya mencatat rekod all-time high (ATH) pada awal 2021.
Bitcoin telah mencatat rekod ATH menembusi paras $34,684 petang semalam waktu tempatan menjadi aset tersebut bernilai RM139,117!
Raja kripto ini mencatat keuntungan sekitar 12% menjelang hari ketiga 2021, selepas lonjakan harga sebanyak 50% pada Disember 2020 sejak ATH pada November iaitu $19,793.
Manakala Ethereum turut cipta rekod ATH, tembus ke paras harga $1,005 (RM4,031) dalam jangka masa pendek sebelum kembali susut pada awal pagi tadi.
Pergerakan harga positif ETH meyakinkan para pelabur untuk matawang kripto kedua terbesar itu terus melonjak, melepasi ATH Januari 2018, $1,432 sebelum susut kepada nilai tiga angka bermula Februari tahun yang sama.
Altcoins juga tidak ketinggalan mencatatkan lonjakan ketika BTC mendominasi pasaran kripto.
Dogecoin melonjak sebanyak 70% pada 2 Januari, VeChain melonjak lebih 20% pada hari ini manakala Litecoin dan Maker masing-masing mencatatkan keuntungan sebanyak 10%.
Berbeza dengan matawang Ripple (XRP) yang tiada lagi khabar gembira, terus mencatatkan rekod merah, $0.23 susulan daripada isu sekuriti seperti yang didakwa Securities and Exchange Commission (SEC) pada pertengahan Disember tahun lepas.
Ketika penulisan, Bitcoin didagangkan pada $33,402, melonjak 1.9% daripada rekod terendah 24 jam manakala ETH mencatatkan nilai $977, meningkat 25% dari paras terendah, $772.