Dogecoin (DOGE) yang merupakan kripto meme sedang dalam fasa meroket ke paras harga tertinggi sepanjang masa yang dikecapi sebelum ini. Pada hari ini, harga DOGE telah melepasi paras harga rintangan utama iaitu pada $0.40 setelah beberapa minggu bermain di bawah paras $0.35.
Pemain pasaran berpendapat lonjakan harga didorong oleh pengumuman penyenaraian DOGE di Coinbase Pro. Coinbase Pro adalah pertukaran khusus untuk pembelian institusi dan Dogecoin akan mula diperdagangkan di platform mulai 3 Jun. Pemindahan aliran masuk Dogecoin sudah boleh dilakukan bermula 2 Jun menjelang pembukaan perdagangan.
Berdasarkan data lepas, penyenaraian di Coinbase sering kali mendorong lonjakan harga dan penyenaraian Dogecoin mengikuti trend yang serupa. DOGE telah meningkat lebih dari 30% untuk menembusi rintangan penting $ 0.40 dan pada masa ini didagangkan di atas $ 0.41.
Musim ‘bull run’ ini telah mengubah Dogecoin dari token meme menjadi pelaburan sebenar kerana altcoin tersebut melonjak lebih dari 6,000% sepanjang tahun 2021. Ia menjadi kegilaan orang ramai kerana mendapat sokongan ari Elon Musk.Kenaikan harga yang besar sebelum ini telah membantu dogecoin menduduki tangga ketiga terbesar dari modal pasaran.
Dogecoin pada masa ini diperdagangkan pada $ 0.42 dengan lonjakan lebih dari 33% sekaligus menduduki tangga keenam dari segi modal pasaran terbesar.