Harga minyak didagangkan stabil setelah mengalami penyusutan dua hari berturut-turut minggu ini, ketika para pengeluar minyak di Teluk Mexico bergelut untuk memulakan semula operasi.
Pada sesi Asia, penanda aras niaga hadapan WTI Amerika Syarikat didagangkan positif pada $68.40 setong, setelah merosot 1.4% pada hari Selasa.
Sementara dagangan minyak mentah Brent pula meningkat di sekitar harga $71.60 setong, setelah jatuh 0.7% pada sesi sebelumnya.
Sekitar 79% pengeluaran minyak di Teluk Mexico masih terhenti pada Selasa, di mana 79 platform pengeluaran masih dikosongkan setelah lebih seminggu dilandai Taufan Ida.
Pengeluaran minyak mentah di wilayah itu merangkumi sekitar 17% daripada output di Amerika Syarikat.
Pelabur kini menantikan pengeluaran data inventori dari Institut Petroleum Amerika (API) pada hari ini dan laporan rasmi dari Pentadbiran Maklumat Tenaga AS pada Khamis untuk gambaran lebih jelas mengenai kesan taufan terhadap pengeluaran minyak mentah dan output kilang.
Secara keseluruhannya, dagangan komoditi hitam masih terkesan dengan kebimbangan terhadap prospek permintaan global yang menyuramkan disebabkan peningkatan berterusan Covid-19.
Tindakan mengejutkan Arab Saudi yang mengurangkan harga jualan rasmi minyak kepada pembeli Asia, menandakan kelemahan permintaan dari rantau itu berikutan pelaksanaan langkah sekatan yang berterusan.