Indonesia dikhabarkan bakal memperkenalkan cukai keuntungan terhadap perdagangan matawang kripto.
Bagaimanapun, cadangan tersebut masih di fasa perbincangan.
Menurut jurucakap pejabat cukai Indonesia, Neilmaldrin Noor setiap keuntungan yang dihasilkan modal harus membayar cukai dan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.
Untuk pengetahuan, Indonesia memandang aset kripto sebagai perdagangan komoditi. Namun, negara terbesar di Asia Tenggara itu pada masa yang sama menyekat penggunaan kripto sebagai medium pembayaran.
Cadangan ini dibangkitkan pada bulan lepas. Ketika itu COO Tokocrypto, Teguh Kurniawan Harmanda memberitahu beberapa pemain industri dan agensi kerajaan termasuk Badan Pengawas Perdagangan Berjangka Komoditi (Bappebti) mengadakan perbincangan menfokuskan kepada bagaimana untuk memperkenalkan cukai terhadap transaksi kripto.
Tokocrypto merupakan platform pertukaran kripto tempatan yang dibangunkan pada Jun 2017.
Menurut Harmanda, perbincangan awal memutuskan kadar cukai yang akan dikenakan adalah sebanyak 0.05%, lebih rendah berbanding cukai pendapatan terhadap perdagangan saham yang mana rekod semasa ialah 0.1%.
Sementara itu di Malaysia, pelabur kripto perlu mematuhi Seksyen 3 Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan mengemukakan penyataan cukai melalui Borang B sebelum atau pada 30 Jun setiap tahun.
Lebih lanjut, baca di sini.