Lonjakan inflasi UK yang lebih tinggi pada bulan November tampaknya akan terus memberi tekanan buat Bank Pusat England (BOE) untuk membuat keputusan pada mesyuarat polisi minggu ini.
Indeks harga pengguna (CPI) tahunan UK meningkat kepada 5.1% pada bulan lepas, jauh lebih tinggi daripada bacaan yang dicatatkan sebelumnya pada 4.2%. Ini merupakan angka tertinggi pernah direkodkan sejak September 2011.
Sementara inflasi teras pula meningkat 4.0% daripada 3.4% yang direkodkan pada bulan Oktober. Secara bulanan, harga pengguna UK meningkat 0.7% berbanding jangkaan untuk kenaikan 0.4%.
Antara penyumbang utama kepada lonjakan ini adalah peningkatan dalam kos pengangkutan, terutamanya daripada bahan bakar dan kereta terpakai, serta perkhidmatan perumahan dan isi rumah.
Berikutan angka inflasi semakin tinggi ini, ia dilihat akan menambah tekanan buat penggubal dasar BOE yang dijangka akan mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada pertemuan mereka pada hari Khamis.
Hal ini kerana, mereka perlu mengambil kira kesan ancaman terbaru varian coronavirus Omicron yang semakin meningkat di UK pada ketika ini sehingga memaksa Perdana Menteri Boris Johnson mengumumkan langkah sekatan lebih ketat.
Reaksi awal matawang pound susulan penerbitan data ini menunjukkan ia melonjak tinggi kepada 1.3250 berbanding USD pada awal sesi Eropah.