Pelabur sesi Asia hari ini menyaksikan keterangan Gabenor Bank Pusat Australia (RBA), Philip Lowe di hadapan Jawatankuasa Tetap Ekonomi Dewan Rakyat.
Dalam kenyataan terbarunya, Lowe mengatakan bahawa pembuat dasar RBA sebenarnya ada mempertimbangkan untuk menangguh pengurangan dalam pembelian bonnya pada bulan depan berikutan situasi Covid-19 semasa di Australia.
Bagaimanapun, dengan jangkaan bahawa kesan daripada gelombang baru coronavirus bersifat sementara, RBA mengejutkan pasaran dengan mempertahankan keputusannya untuk terus mengurangkan pembelian bonnya.
Antara sebab utama bank pusat mengambil keputusan tersebut adalah kerana mereka menjangkakan pertumbuhan yang lebih kuat pada tahun depan, menurut Gabenor Lowe.
Tambah beliau lagi, sebarang pembelian bon tambahan akan memberi kesan maksimum pada masa itu dan hanya kesan yang sangat kecil sekarang apabila sokongan tambahan sangat diperlukan.
Walaupun begitu, para pembuat dasar mengakui bahawa rangsangan fiskal adalah instrumen yang lebih tepat untuk memberikan sokongan. Susulan itu, Lowe mengatakan RBA bersedia untuk bertindak sekiranya prospek ekonomi merosot.
Dalam pada itu, pasaran juga diperlihatkan dengan pernyataan dasar monetari RBA yang dikeluarkan pada sesi Asia, di mana bank pusat meramalkan pertumbuhan 4% pada tahun ini, diikuti peningkatan 4.25% pada 2022, dan 2.5% pada tahun 2023.
Sementara kadar pengangguran pula dilihat menurun kepada 4.25% tahun depan, dan 4% pada akhir tahun 2023 dari tahap 5% yang diramalkan pada tahun ni.
Walaupun kenyataan Gabenor Lowe dilihat lebih optimis, namun dolar Aussie gagal mencatatkan kenaikan berikutan perkembangan kurang baik mengenai wabak Delta coronavirus di Sydney dan New South Wales yang terus mencatatkan rekod lebih tinggi, selain turut terkesan dengan pengukuhan USD.