Komoditi hitam didagangkan stabil setelah memadamkan beberapa kerugian yang dicatatkan minggu lalu susulan kebimbangan terhadap peningkatan bekalan minyak mentah oleh Iran.
Harga minyak jatuh pada minggu lalu berikutan laporan yang mengatakan Iran dan Amerika Syarikat semakin hampir untuk mencapai kesepakatan dalam menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015.
Sementara itu, Presiden Iran, Hassan Rouhani mengatakan bahawa AS bersedia untuk mengangkat sekatan yang telah dikenakan ke atas sektor minyak, perbankan dan perkapalan negaranya.
Hal ini menyebabkan pasaran bimbang bahawa bekalan minyak mentah dunia akan meningkat, lebih-lebih lagi Iran dikatakan bersedia untuk mengeksport minyak mentah dengan tahap maksimum pada minggu lepas.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, jangkaan mengenai peningkatan permintaan minyak mentah dunia turut membantu mengimbangkan harga minyak dari jatuh lebih rendah.
Memetik kepada laporan Goldman Sachs, mereka melihat bahawa kenaikan permintaan minyak mentah susulan kemajuan vaksinasi, akan mendorong peningkatan harga lebih tinggi walaupun berdepan dengan pertambahan bekalan dari Tehran.
Memasuki sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan stabil pada $66.80 setong, manakala dagangan WTI Amerika Syarikat pula di sekitar $64 setong.