US dolar terus mengekalkan penguasaannya berbanding pesaing utama pada sesi Asia, walaupun mencatatkan penurunan sementara sebaik sahaja laporan minit mesyuarat FOMC dikeluarkan.
Laporan tersebut menunjukkan sebahagian besar pembuat dasar Federal Reserve (Fed) bersetuju untuk pengurangan pembelian aset pada tahun ini, seiring dengan syarat ekonomi yang berkembang meluas seperti dijangkakan.
Bagaimanapun, tiada isyarat jelas yang mengatakan bila tarikh pembelian bon akan dikurangkan. Pasaran sebelum ini menjangkakan Fed akan membuat pengurangan secepatnya pada bulan September.
Dalam pada itu, terdapat juga beberapa pembuat dasar lebih memilih untuk menunggu hingga awal tahun 2022 untuk memulakan pengurangan dalam pembelian aset bulanan mereka.
Para pembuat dasar juga secara umum bersetuju bahawa pekerjaan masih tidak memenuhi penanda aras ‘kemajuan lebih besar’ yang telah ditetapkan oleh Fed sebelum mempertimbangkan kenaikan kadar.
Selain itu, para pembuat dasar juga ada membincangkan mengenai risiko kenaikan kes Covid-19 semasa yang berkaitan dengan penularan varian Delta yang boleh memberi impak kepada pemulihan ekonomi.
Setelah pelabur menghadam laporan minit mesyuarat tersebut, pasaran Wall Street terus berubah merah berikutan jangkaan pengurangan rangsangan akan dilakukan tahun ini, sementara hasil bon perbendaharaan 10 tahun pula turun lebih rendah.
US dolar yang pada mulanya menyusut, kembali mencatatkan kenaikan lebih tinggi ke paras ketinggian empat setengah bulan berbanding matawang utama yang lemah, dengan indeks dolar kukuh pada 93.34.