Walaupun sedikit susut, tetapi harga minyak kekal diperdagangkan lebih tinggi pada sesi Asia, dengan tumpuan pasaran kini terarah kepada pertemuan dasar Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC), dan sekutunya termasuk Rusia atau lebih dikenali sebagai OPEC+ pada minggu ini.
Niaga hadapan minyak mentah Brent kekal menguat di atas paras harga $69 setong, sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula stabil di sekitar harga $66.70 setong
Dagangan minyak mentah bersedia untuk kenaikan bulanan kedua berturut-turut berikutan pemulihan permintaan yang kuat di Amerika Syarikat, China dan sebahagian Eropah, walaupun turut berdepan dengan serangan Covid-19 di Asia.
Ini dapat dilihat daripada stok minyak petrol AS yang terus menunjukkan penurunan dan penggunaannya meningkat menjelang bermulanya musim panas, yang menandakan permintaan bahan bakar akan meningkat lebih tinggi susulan lebih ramai rakyat akan keluar bercuti.
Bagaimanapun, tekanan daripada prospek peningkatan penawaran minyak dari Iran masih ada, di mana pasaran turut menantikan perkembangan lanjut dalam perbincangan antara Tehran dan Washington pada minggu ini untuk menghidupkan semula perjanjian nuclear.
Sementara itu, pada pertemuan yang akan berlangsung pada Selasa, OPEC+ dijangka akan terus berpegang teguh kepada rancangan mereka untuk mengurangkan pemotongan bekalan secara beransur-ansur hingga bulan Julai.