Israel meluluskan pelan berbilion dolar AS untuk menguatkan tentera udaranya dengan pesawat perang dan peralatan tentera canggih.
Siaran milik kerajaan KAN TV melaporkan setelah tiga tahun tertangguh, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Kabinet yang berlangsung selama tujuh jam, dihadiri Menteri Pertahanan iaitu Benny Gantz.
Lapor Bernama, perjanjian bernilai AS$9 bilion itu merangkumi pembelian helikopter Chinook, pesawat perang F-35 dan F-16, bom, senjata canggih dan kapal tangki pengisian minyak di udara, katanya.
Kementerian Kewangan menentang perjanjian itu kerana Tel Aviv perlu membuat pinjaman dari bank Amerika Syarikat (AS) untuk membiayai rancangan tersebut dan ini bermaksud pengurangan bantuan tahunan dari Washington.
AS yang merupakan penyokong ketenteraan terbesar Israel, mengumumkan pada 2018 akan memberikan bantuan sebanyak AS$38 bilion dalam tempoh 10 tahun kepada Tel Aviv.