Pembuat dasar Bank Pusat Jepun (BOJ), Goushi Kataoka mengatakan wabak coronavirus mungkin akan membebankan ekonomi lebih lama daripada dijangkakan, dan memberi amaran terhadap risiko yang meningkat dalam pemulihan ekonomi Jepun.
Kataoka juga menekankan kesediaan BOJ untuk meningkatkan rangsangan jika diperlukan, memperkuat jangkaan pasaran bahawa Jepun akan terus kekal dengan dasar monetari yang sangat longgar.
Dalam ucapannya pada hari Khamis, Kataoka mengatakan prospek ekonomi Jepun terikat dengan ketidakpastian, di mana penggunaan dilihat masih teruk kerana keadaan darurat yang dilaksanakan untuk membendung penularan Covid-19.
Selain itu, beliau juga menyeru supaya BOJ perlu meningkat pembelian bon secara agresif untuk menurunkan biaya pinjaman untuk syarikat, sehingga mereka dapat meningkatkan perbelanjaan modal dan melabur dalam bidang pertumbuhan.
Tambah beliau lagi, kerajaan dan bank pusat mesti berkomunikasi dalam menentukan dasar. Peranan BOJ adalah untuk mengambil langkah-langkah bagi mencapai inflasi 2% secepat mungkin.
Bagaimanapun, menurut pandangan peribadi Kataoka, beliau mengatakan BOJ perlu memperkuatkan pelonggaran monetari kerana inflasi akan tetap jauh dari sasaran 2% selama bertahun-tahun walaupun ekonomi pulih.
Di bawah polisi yang disebut kawalan keluk hasil, BOJ menetapkan kadar faedah jangka pendek pada -0.1% dan hasil bon 10 tahun sekitar 0% melalui pembelian aset secara besar-besaran.
Matawang yen bagaimanapun gagal memberi reaksi susulan kenyataan ini, dengan kekal didagangkan stabil berbanding US dolar di sekitar harga 110.00 pada pembukaan sesi Eropah.