Dolar greenback bertahan pada keuntungan yang diraih pada sesi sebelum ini, dengan indeks dolar diniagakan stabil di sekitar harga 93.95 pada sesi Eropah.
Kenaikan US dolar pada sesi Asia telah disokong oleh penjualan dalam pasaran saham dari Wall Street yang merebak ke Asia susulan kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi dan masalah yang dialami Facebook.
Greenback kini menantikan data PMI perkhidmatan tinjauan ISM sebagai pemacu pergerakan seterusnya, yang juga akan dijadikan petunjuk menjelang penerbitan laporan NFP pada Jumaat.
Tekanan inflasi semakin meningkat ketika kenaikan harga minyak semasa melonjak ke paras tertinggi 7 tahun setelah OPEC+ memutuskan untuk kekal dengan pengeluaran semasa sebanyak 400,000 tong sehari.
Lonjakan harga tenaga dan kebimbangan kenaikan harga barangan yang lain boleh menimbulkan risiko kepada pemulihan dan mendorong kos pinjaman lebih tinggi.
US dolar dijangka akan terus mendapat sokongan dari penyusutan dalam pasaran saham yang terkesan dengan kebimbangan inflasi dan isu Facebook. Menjelang pembukaan sesi New York, niaga hadapan S&P 500 dan indeks Dow Jones didagangkan merah.
Bagaimanapun, secara keseluruhannya pelabur masih berhati-hati untuk melakukan pergerakan besar dalam pasaran.
Pound stabil di sekitar harga 1.3600 berbanding US dolar, tetapi tekanan harga gas yang meningkat dan isu Brexit masih membataskan pergerakan matawang itu.