Dagangan dolar greenback terus melemah ketika hasil bon AS 10 tahun melanjutkan penurunan lebih rendah pada sesi Asia ketika pasaran menuju penghujung minggu.
Matawang utama pula terus memanfaatkan peluang untuk mempertahankan pengukuhan, di samping peningkatan dalam pasaran ekuiti dengan indeks Dow Jones mencatatkan kenaikan terkuat dalam tempoh hampir 3 bulan.
Ini disokong oleh data yang lebih baik, di mana jumlah tuntutan pengangguran mingguan dilaporkan turun di bawah 300,000 buat pertama kali sejak pandemik bermula, iaitu sebanyak 293,000.
Sementara indeks harga pengeluar (PPI) pula meningkat sedikit lebih rendah dari jangkaan, tetapi menyaksikan peningkatan terbesar dalam kadar tahunan.
Para pelabur kini menantikan data jualan runcit AS yang akan diterbitkan pada sesi New York, di mana ia dijangka menunjukkan penurunan pada bulan September daripada bacaan sebelumnya.
Pada sesi Asia, indeks dolar sedikit susut setelah mencatat peningkatan pada sesi sebelum ini dengan diperdagangkan pada harga 93.98 berbanding pesaing utamanya.
Matawang komoditi terus mengekalkan momentum pengukuhan dengan meningkat lebih tinggi ketika sesi Asia, dengan dolar Aussie kukuh pada paras tertinggi satu bulan, dan kiwi pula menguat menghampiri tahap tertinggi tiga minggu.
Euro pula sedikit tergelincir tetapi masih mengekalkan keuntungan yang diraih susulan kelemahan dolar greenback, diniagakan pada sekitar harga 1.1600 berbanding USD.