Dolar greenback mengukuh pada sesi Asia menjelang mesyuarat polisi FOMC, didukung oleh hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang positif.
US dolar mengabaikan bacaan data jualan runcit AS yang mengecewakan jangkaan pasaran dengan mencatatkan kejatuhan 3% pada bulan Februari, yang mana ia jauh lebih lemah daripada ramalan untuk penurunan 0.5%.
Bagaimanapun, bacaan ini tidak memberi kesan kepada dolar kerana angka jualan runcit yang disemak semula pada Januari adalah lebih tinggi daripada sebelumnya.
Malah, dengan pelancaran pakej rangsangan $1.9 trilion seawal minggu depan, para pelabur mengharapkan data penjualan runcit yang lebih kuat pada separuh kedua bulan Mac dan April.
Matawang Asia, dolar Aussie dan kiwi didagangkan menyusut berbanding USD yang menguat, di samping turut terkesan dengan amaran terbaru dari Amerika Syarikat untuk China yang mungkin akan memburukkan lagi hubungan dua hala.
Dolar Kanada sedikit susut tetapi masih didagangkan mengukuh di sekitar paras tertinggi 3 tahun berbanding US dolar, selain turut disokong oleh pengukuhan harga minyak mentah dunia.
Euro susut lebih rendah, terkesan dengan peningkatan dolar greenback dan turut ditekan oleh risiko perlambatan dalam langkah vaksinasi di Eropah setelah lebih banyak negara menangguhkan penggunaan vaksin AstraZeneca.
Matawang pound pula kembali meningkat di sekitar harga 1.39000 berbanding USD selepas kemerosotan yang dicatatkan pada Selasa. Mesyuarat polisi Bank of England (BOE) pada malam esok turut menjadi fokus utama pasaran.