Kebanyakan matawang utama terus diperdagangkan di sekitar harga yang sama walaupun terdapat kenaikan yang dicatatkan, namun ia kembali terhapus pada sesi dagangan sebelum ini.
Pada sesi Asia, indeks dolar diniagakan di sekitar harga 90.17 berbanding sekumpulan matawang utama ketika para pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat menjelang penerbitan data malam ini.
Pergerakan lebih agresif dijangka berlaku pada sesi New York, di mana data inflasi AS akan diterbitkan dan berlangsungnya mesyuarat dasar monetari Bank Pusat Eropah (ECB).
Indeks harga pengguna sememangnya telah dinantikan setelah laporan bulan lalu menunjukkan harga pengguna meningkat paling tinggi dalam tempoh hampir 12 tahun pada bulan April.
Ini telah mendorong jangkaan bahawa kenaikan harga yang lebih tinggi mungkin akan dicatatkan pada bulan Mei.
Sementara itu, matawang pound merosot selepas Britain dan Kesatuan Eropah (EU) gagal mencapai persetujuan dalam perbincangan mengenai masalah perdagangan pasca-Brexit di wilayah Ireland Utara.
Kebimbangan baru terhadap penularan varian Covid-19 Delta dari India, yang kini telah menjadi dominan di UK, turut membataskan dagangan pound dan mendorong matawang itu lebih rendah.
UK melaporkan lebih daripada 7,500 kes baru dalam tempoh 24 jam terakhir, iaitu peningkatan satu hari terbesar sejak 17 Februari.