Kesatuan Eropah (EU) dalam perkembangan terkini telah mula memberi gambaran awal mengenai pelan pelaburan global, di mana ia dilihat bakal menjadi saingan kepada inisiatif Belt and Road oleh China. Seperti yang dilaporkan petang hari ini, EU kembali menunjukkan taring mereka untuk mendominasi kembali ekonomi melalui pelan alternatif ini.
Gambaran awal yang diumumkan Suruhanjaya Eropah pada hari ini mendedahkan bahawa mereka akan melabur 300 bilion menjelang 2027 dalam projek infrastruktur, digital dan iklim sebagai alternatif yang lebih baik kepada Inisiatif Belt and Road China.
Skim yang digelar sebagai Global Gateway mensasarkan untuk mengukuhkan rantaian bekalan Eropah, meningkatkan perdagangan EU, membantu memulih perubahan iklim, penumpuan pada pendigitalan, kesihatan, iklim, pendidikan dan penyelidikan dan akhir sekali adalah pengangkutan.
Disisi lain, Belt and Road merupakan strategi pembangunan infrastruktur global yang diguna pakai oleh kerajaan China pada tahun 2013 untuk melabur kepada hampir 70 negara dan organisasi antarabangsa.
Waima inisiatif yang ditunjukkan China ini secara literalnya adalah bagus namun pegawai EU menyatakan bahawa syarat pembiayaan yang ditawarkan oleh Beijing kebiasaannya adalah berat sebelah, tidak telus dan mendorong negara-negara ekonomi kurang baik bergantung kepada China melalui penawaran hutang.
Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dalam sidang akhbar menggelar skim EU ini seabgai suatu ‘alternatif sebenar’. Lanjut beliau, “EU akan menawarkan pembiayaannya di bawah terma yang adil dan menguntungkan untuk mengehadkan risiko kesulitan hutang,”
Akhir sekali Global Gateway memiliki objektif untuk menjalin hubungan dengan negara lain tanpa mewujudkan pergantungan. Suruhanjaya berkata bahawa dengan membantu negara lain EU juga akan mempromosikan kepentingannya sendiri dan mengukuhkan rantaian bekalannya.