Raja matawang US dolar terus lemah setelah jatuh ke paras terendah enam minggu ketika para pelabur menantikan tindak balas Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell terhadap kebimbangan kenaikan inflasi.
Powell dijadualkan untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat Amerika Syarikat pada malam ini, mengenai laporan separuh tahunan dasar monetarinya.
Beliau juga dijangka akan menyentuh isu mengenai peningkatan inflasi susulan kenaikan dalam hasil perbendaharaan AS jangka panjang baru-baru ini.
Sementara itu, peningkatan harga dari bahan berasaskan komoditi telah memacu matawang seperti dolar Aussie, New Zealand dan Kanada ke paras tertinggi tiga tahun pada hari Isnin, selain turut disokong sentimen pasaran yang positif terhadap pertumbuhan global.
Peningkatan harga minyak mentah dunia ke paras ketinggian terbaru, telah memberi sokongan buat dagangan dolar loonie untuk mengukuh lebih tinggi berbanding US dolar yang lemah.
Dalam pada itu, kelemahan dolar greenback turut memberi manfaat kepada matawang euro untuk kekal didagangkan mengukuh.
Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde menyatakan bahawa bank kini sedang memantau dengan teliti terhadap evolusi hasil bon nominal jangka panjang, menandakan institusi itu bersedia untuk campur tangan dan menurunkan pulangan hutang.
Pound sterling juga menguat di sekitar tahap tertinggi hampir 3 tahun walaupun selepas penerbitan data pekerjaan UK yang mengecewakan. Kadar pengangguran UK meningkat paling tinggi dalam tempoh hampir lima tahun.