Dagangan logam berharga emas jatuh setelah Federal Reserve (Fed) memberi isyarat lebih jelas untuk mengurangkan pembelian bon bulanannya dan kenaikan kadar faedah yang lebih cepat dari dijangkakan.
Spot emas diniagakan rendah sekitar harga $1,763 per auns pada sesi Asia, sementara niaga hadapan emas pula diperdagangkan pada $1,764 per auns.
Pengerusi Jerome Powell memberitahu dalam sidang media bahawa pengurangan pembelian bon bulan $120 bilion boleh bermula secepatnya pada November sekiranya ekonomi terus menunjukkan peningkatan.
Sementara itu, sebahagian daripada penggubal dasar Fed pula dilihat bersedia untuk menaikkan kadar faedah pada tahun depan sebagai tindak balas terhadap inflasi yang dijangka meningkat lebih dua kali ganda dari sasaran bank pusat pada tahun ini.
Dolar greenback meroket ke paras ketinggian terbaru satu bulan berbanding sekumpulan matawang utama susulan keputusan mesyuarat FOMC.
Emas biasanya dianggap sebagai lindung nilai terhadap inflasi yang lebih tinggi, tetapi kenaikan kadar faedah oleh bank pusat AS akan mengurangkan daya tarikan terhadap logam kuning itu.