Di Malaysia, pernah direkodkan sebuah gerai nasi kerabu yang menerima Bitcoin (BTC) sebagai medium pembayaran.
Terbaru, seorang lelaki dari Rhode Island melelongkan tanah lot kosong di Providence pada harga 150,000 DOGE, sekitar $61,500 mengikut harga semasa artikel ini ditulis.
Ia merupakan kali pertama dalam sejarah urus niaga harta tanah apabila seorang individu menjual asetnya dalam kripto meme.
Dilaporkan lelaki itu berminat untuk menjualnya dalam Dogecoin kerana popularitinya yang meningkat gara-gara dihypekan oleh figura terkenal dan pengasas Tesla, Elon Musk.
Agen hartanah yang menguruskan urusan tersebut, Kyle Seyboth menjelaskan susulan daripada tindakan individu itu, telefon bimbitnya tidak henti menerima panggilan kerana ramai pemilik hartanah mahu bertindak sama.
Walaupun masih sukar untuk dikenalpasti sama ada pembeli atau penjual akan menerima manfaat menggunakan kripto sebagai medium pembayaran, tidak dinafikan ia merupakan salah satu inovatif yang unik dan menarik.
Harga DOGE sejak kemunculan Musk dalam realiti televisyen SNL pada 8 Mei lalu, menyaksikan pergerakan roller-coaster lagi-lagi kemunculan Shiba Inu (SHIB) dikaitkan sebagai pembunuh Dogecoin.
Berdasarkan harga semasa, penganalisis mengandaikan jika DOGE terus menyusut, tidak mustahil ia akan mencapai paras $0.1 dalam masa terdekat.