Dolar Amerika terus didagangkan lebih tinggi berbanding matawang utama dengan kenaikan terbaru membawa matawang gergasi itu ke paras ketinggian terbaru 1 tahun berbanding yen dan tertinggi 4 bulan berbanding euro.
Ini disokong oleh lonjakan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang mencecah tahap tertinggi terbaru 14 bulan pada 1.77% ketika sesi dagangan New York, sebelum sedikit susut pada sesi Asia hari ini.
Ketika penulisan, indeks dolar kukuh di sekitar harga 93.30 berbanding enam matawang utama lain.
Data keyakinan pengguna AS yang diterbitkan semalam menjadi tumpuan pelabur selepas ia mencatatkan peningkatan paling tinggi sejak wabak Covid-19 bermula.
Hal ini sekali gus menyokong prospek bahawa pertumbuhan ekonomi akan meningkat dalam beberapa bulan akan datang yang didorong oleh rangsangan fiskal besar dan peningkatan keadaan kesihatan awam.
Sementara itu, para pelabur kini menantikan ucapan Presiden AS Joe Biden pada hari Rabu (waktu Amerika), di mana beliau akan mengumumkan rancangan perbelanjaan infrastrukturnya bernilai $3 trilion, yang mungkin termasuk kenaikan cukai.
Selain itu, data pekerjaan ADP AS yang akan diterbitkan malam ini juga bakal menjadi tumpuan pelabur bagi mendapatkan petunjuk mengenai laporan NFP pada hari Jumaat nanti.