Jerman dilaporkan telah menghantar kapal perang ke Laut China Selatan untuk pertama kalinya dalam tempoh hampir dua dekad, dalam satu langkah terbaru yang akan meningkatkan lagi ketegangan antara negara-negara Barat dengan China.
Kapal perang frigat yang dikenali sebagai Bayern (Bavaria), berangkat dari pangkalan tentera laut Jerman Wilhelmshaven pada hari Isnin semasa upacara yang dihadiri oleh setiausaha pertahanan negara itu, Annegret Kramp-Karrenbauer.
“Bersama dengan sekutunya, Jerman ingin menunjukkan lebih banyak kehadirannya di wilayah Indo-Pasifik,” kata tentera laut Jerman dalam satu kenyataan.
Kapal itu dijangka menyeberangi Laut China Selatan pada pertengahan Disember, menjadikannya kapal perang Jerman pertama yang merentasi wilayah tersebut sejak 2002.
China sebelum ini telah menuntut hampir semua kekayaan tenaga dan sumber alam di kepulauan tersebut, di mana ia telah menubuhkan pos ketenteraan di pulau buatan.
Sementara itu, Amerika Syarikat dan negara-negara lain, mempertikaikan tuntutan wilayah ini, dan Angkatan Laut AS kerap melakukan operasi yang disebut sebagai ‘kebebasan navigasi’ di perairan yang melalui beberapa pulau ini.
Amerika turut mendapat sokongan dari sekutu dalam usaha untuk menentang tuntutan wilayah China di kawasan itu. Perancis, Jepun, Australia dan New Zealand juga baru-baru ini meningkatkan aktiviti mereka di Pasifik sebagai simbolik menentang China.
Pada minggu lepas, sekumpulan kapal perang UK yang dipimpin oleh kapal induk HMS Queen Elizabeth telah memasuki Laut China Selatan walaupun terdapat amaran dari Beijing.