Dolar greenback terus melemah berbanding kebanyakan matawang utama pada hari Khamis menyusuli kemerosotan hasil perbendaharaan AS 10 tahun yang berada di bawah paras tertinggi baru-baru ini.
Ketika penulisan, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama diniagakan di tahap terendah 3 minggu pada 91.59.
Kenaikan dalam data inflasi yang diterbitkan pada Selasa, nampaknya tidak menggoyahkan Federal Reserve (Fed) untuk mengetatkan semula dasarnya, menyebabkan dagangan matawang US dolar terus susut lebih rendah.
Pengerusi Fed, Jerome Powell yang bercakap di Economic Club of Washington, memberitahu bahawa bank pusat AS akan mengurangkan pembelian bulanan bonnya sebelum melakukan kenaikan kadar faedah, satu senario yang sememangnya sudah dijangka oleh para pelabur.
Penerbitan data jualan runcit AS pada malam ini akan menjadi fokus utama pasaran. Dengan peningkatan perbelanjaan yang diharapkan, penurunan dolar greenback mungkin terhad.
Sementara itu, matawang euro terus meningkat dan berada di landasan menuju ke paras harga 1.2000 berbanding US dolar.
Ketika bercakap dalam satu acara dalam talian yang dihoskan oleh Reuters semalam, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Christine Lagarde mengatakan tindak balas fiskal AS diramal dapat meningkatkan pertumbuhan Eropah sebanyak 0.3% dalam jangka masa sederhana dan kesan dari rangsangan AS dijangka bakal meningkatkan inflasi sebanyak 0.15%.