Dolar greenback melanjutkan kenaikan lebih tinggi menjelang dagangan penghujung minggu pada sesi Asia, dengan kebanyakan matawang utama lain terus ditekan oleh kebimbangan terhadap penularan coronavirus yang semakin meningkat.
Optimisme untuk pengurangan pembelian bon akan dilaksanakan pada tahun ini oleh Federal Reserve telah menguatkan lagi pengukuhan US dolar yang turut mendapat keuntungan sebagai safe-haven di tengah sentimen berisiko.
Bacaan jumlah tuntutan pengangguran AS yang diterbitkan semalam, juga menyokong US dolar selepas menunjukkan penurunan ke tahap terendah sejak pertengahan Mac 2020, pada minggu lepas.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama melonjak ke paras tertinggi 9 bulan, membawanya didagangkan kukuh pada harga 93.50 pada awal sesi Asia.
Berikutan kebimbangan pasaran terhadap penularan Covid-19 dan kejatuhan harga minyak, matawang berkaitan komoditi jatuh mendadak menjelang hujung minggu, di mana dolar Kanada diheret jatuh ke paras terendah terbaru enam bulan.
Sementara itu, matawang euro terus didagangkan lemah di sekitar paras terendah 9 setengah bulan, selepas mencatatkan penurunan sekitar 0.94% pada minggu ini, iaitu kejatuhan paling banyak sejak pertengahan Jun.
Pound sterling pula menyentuh paras terendah satu bulan, ketika kes coronavirus yang kembali meningkat di UK menambah kekhuatiran pasaran terhadap matawang itu. Ia telah jatuh 1.64% minggu ini, yang merupakan penurunan terbesar dalam tempoh dua bulan.