Komoditi hitam didagangkan bercampur pada awal dagangan minggu ini, dengan memperlihatkan kedua-dua penanda aras kekal kukuh di atas paras harga $70 setong.
Niaga hadapan minyak mentah Brent menguat pada sesi Asia, meningkat pada sekitar harga $76 setong. Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula diniagakan menokok pada $73.10 setong.
Kebimbangan yang mereda terhadap varian Omicron meletakkan kedua-dua dagangan emas hitam di paras tertinggi empat minggu.
Minggu lepas, penemuan awal dari Agensi Kesihatan UK mendapati bahawa Omicron berkemungkinan kurang menyebabkan penyakit yang serius berbanding varian dominan sebelum ini, Delta.
Bagaimanapun, varian yang sangat mudah merebak itu telah mendorong peningkatan jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia, terutamanya di Eropah.
Ini menyebabkan beberapa negara di UK seperti Scotland, Wales dan Ireland Utara memperketatkan sekatan pada hujung minggu. Faktor ini mungkin boleh mengekang harga minyak dari meningkat lebih tinggi.
Tambahan daripada itu, kenaikan harga gas asli yang menyentuh paras tertinggi pada minggu lepas disebabkan kekangan bekalan turut menyokong dagangan minyak mentah Brent.