Mesyuarat OPEC+ ditangguhkan sehingga Jumaat selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak bersetuju dengan rancangan untuk pengurangan dalam pemotongan pengeluaran mereka dan pelanjutan sehingga akhir tahun 2022.
Hal ini telah menyebabkan mesyuarat yang berlangsung pada hari Khamis, terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang untuk lebih banyak perbincangan mengenainya, menurut sumber dari OPEC+.
Arab Saudi dan Rusia pada mulanya dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk meningkatkan output sebanyak 0.4 juta sehari dari bulan Ogos sehingga Disember tahun ini untuk memenuhi permintaan global yang meningkat.
Sementara Moscow dan Riyadh pula mencadangkan untuk memperpanjangkan tempoh pemotongan sehingga akhir 2022 untuk mengelakkan gangguan bekalan pada tahun depan.
Bagaimanapun UAE, yang mempunyai sasaran pertumbuhan pengeluaran minyak dilihat keberatan untuk menyetujui cadangan tersebut, selain turut meminta OPEC+ untuk mengubah garis asas pemotongan, iaitu tahap output awal dari mana pengurangan dikira.
Garis asas yang lebih tinggi bermaksud pemotongan sebenar yang lebih rendah.
Berita mengenai penangguhan ini telah menyebabkan dagangan minyak mentah terus melonjak lebih tinggi sehingga mencecah paras ketinggian terbaru pada sesi sebelum ini.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan pada $75.80 setong, selepas mencecah harga $76.70 setong pada Khamis. Sementara WTI Amerika Syarikat pula menguat pada $75.20 setong, tahap paling tinggi sejak Oktober 2018.