Dagangan komoditi hitam kembali mendapat sokongan menjelang penghujung minggu, bangkit semula dari paras terendah 6 minggu yang dicatatkan pada hari Khamis.
Niaga hadapan minyak mentah Brent kembali meningkat pada $82 setong, mendaki semula di atas paras harga $80. Sementara dagangan WTI Amerika Syarikat pula menokok pada sekitar $79 setong.
Terdahulu, kedua-dua penanda aras susut ketara disebabkan bimbang dengan tindakan yang bakal diambil oleh Amerika Syarikat untuk menurunkan harga minyaknya.
Pentadbiran Joe Biden dilaporkan telah meminta pengguna utama minyak dunia, China dan Jepun supaya mempertimbangkan pelepasan rizab minyak yang diselaraskan untuk menurunkan harga.
Walau bagaimanapun, kebimbangan pasaran kembali mereda selepas penganalisis berpendapat tindakan tersebut hanya akan memberi kesan yang terhad ke atas pasaran minyak.
Menurut penganalisis, pasaran minyak mentah akan kekal dihimpit masalah kekurangan bekalan dan sebarang jumlah yang dikeluarkan daripada rizab tidak mungkin menjejaskan keseimbangan global.
Ini membuatkan harga kembali meningkat, selain turut disokong oleh penyusutan matawang US dolar.
Selain itu, data yang menunjukkan eksport minyak Arab Saudi mencecah paras tertinggi lapan bulan pada September dengan kenaikan untuk bulan kelima berturut-turut, juga membantu pengukuhan harga.