Permulaan dagangan hari ini menyaksikan peningkatan semula matawang utama berbanding US dolar selepas mengharungi sesi New York yang menyuramkan.
Indeks dolar berjaya kembali ke atas paras harga 90 pada sesi sebelum ini, setelah hasil perbendaharaan AS 10 tahun bergerak ke atas semula menjelang pelancaran pelan rangsangan ekonomi oleh Presiden Joe Biden pada Khamis.
Kenaikan hasil perbendaharaan 10 tahun di atas 1% telah meletakkan tahap yang lebih kukuh untuk US dolar menguat.
Selain itu, peningkatan dalam kadar inflasi AS pada bulan Disember yang menepati jangkaan pasaran turut menyokong dagangan dolar greenback.
Namun begitu, ketika pembukaan sesi Asia, matawang utama kembali menunjukkan pergerakan yang positif di tengah-tengah ketidakpastian dalam politik Amerika Syarikat.
Donald Trump menjadi presiden pertama dalam sejarah AS yang dipecat sebanyak dua kali, di mana yang terbaru, 10 pegawai Republikan bergabung dengan Demokrat di Dewan Perwakilan untuk memecatnya atas dakwaan menghasut pemberontakan dalam serangan Capitol minggu lalu.
Bagaimanapun, pejabat Senator Mitch McConnell mengatakan bahawa mereka tidak akan memulakan prosiding pemecatan sehingga selepas 19 Januari (perlantikan rasmi Presiden Joe Biden, 20 Januari).
Euro kembali didagangkan stabil setelah menyusut berikutan kenaikan dolar greenback pada sesi sebelum ini, sementara matawang pound pula terus menguat selepas mencecah paras ketinggian terbaru sejak Mei 2018.