Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% di mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang akan diadakan pada bulan hadapan.
AmBank Research berkata, unjuran itu dibuat meskipun terdapatnya ketidakpastian yang kian ketara disebabkan oleh pandemik yang telah meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan berikutan gangguan rantaian bekalan dan kelewatan pembukaan semula ekonomi.
“Dengan fokus untuk menangani pandemik, kecepatan vaksinasi dan ujian berserta kuarantin, ini bermakna sebarang kenaikan kadar oleh bank tidak mungkin berlaku pada pada tahun 2021, tetapi lebih pada tahun 2022,” ujarnya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, inflasi keseluruhan pula diunjur berlegar sekitar 3.0% hingga 3.5% untuk tahun penuh dan unjuran BNM adalah 2.5% hingga 4.0%.
“Ini bermakna inflasi secara purata untuk tujuh bulan akan datang ialah sekitar 3.6 peratus hingga 4.5 peratus,” jelasnya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Sementara itu, CGS-CIMB turut meramalkan bank pusat akan mengekalkan OPR pada 1.75% pada separuh kedua tahun tahun ini.