Satu lagi rekod terbaru telah dicapai oleh dolar Kanada selepas matawang itu mencecah paras ketinggian hampir enam tahun, di tengah-tengah kelemahan US dolar.
Pada sesi Asia, loonie diniagakan 0.3% lebih tinggi pada 1.2040 berbanding US dolar, di sekitar tahap terkuat sejak 2015.
Greenback terus melemah selepas diperlihatkan dengan data jualan runcit AS yang mengecewakan pada Jumaat, menyebabkannya didagangkan lebih rendah berbanding pesaing utamanya.
Sementara itu, antara salah satu faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan dolar loonie adalah kenaikan harga minyak mentah dunia yang kembali meningkat menghampiri paras ketinggian dua bulan.
Dalam pada itu, pendekatan dasar monetari oleh bank pusat, yang berbeza turut membantu pengukuhan dolar Kanada.
Federal Reserve (Fed) AS tetap dengan pendirian mereka untuk kekal dengan dasar monetari yang sangat longgar kerana pemulihan ekonomi dilihat masih tidak menentu dan bergelombang.
Sebaliknya, Bank Pusat Kanada (BOC) telah mula mengetatkan dasarnya dengan mengurangkan pembelian bon kerajaan setelah melihat pengukuhan dalam pemulihan susulan data-data ekonomi yang kukuh.