Keputusan Bank Pusat Kanada (BOC) yang mengejutkan telah mendorong matawang dolar loonie lebih kukuh pada awal dagangan sesi Asia.
Pada sesi New York, BOC mengumumkan ia telah memutuskan untuk menamatkan pembelian bon mingguannya, sekali gus menjadi bank pusat pertama yang menghentikan rangsangan coronavirus.
Ini secara tidak langsung mengejutkan pemain pasaran yang sebelum ini membuat spekulasi mengenai pengurangan pelonggaran kuantitatifnya akan dilakukan secara beransur-ansur.
Bukan itu sahaja, malah bank pusat juga memberi indikasi bahawa mereka mungkin menaikkan kadar faedah tiga bulan lebih awal daripada yang diramalkan pada separuh kedua tahun 2022.
Ketika sesi Asia, dolar loonie diniagakan pada sekitar paras ketinggian 3 bulan berbanding dolar greenback. Sebelum pengumuman dasar BOC dibuat, matawang itu susut ke paras terendah dua minggu.
Sementara itu, US dolar didagangkan stabil pada sesi Asia setelah mengakhiri dagangan sesi sebelum ini dengan lemah berbanding pesaing utamanya walaupun bergerak di sekitar paras harga yang sama.
Tumpuan pelabur kini disasarkan kepada mesyuarat polisi Bank Pusat Jepun (BOJ) dan Bank Pusat Eropah (ECB) yang akan berlangsung hari ini.