Misi China ke Kesatuan Eropah (EU) mendesak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk berhenti membesar-besarkan ‘teori ancaman China’ setelah para pemimpin kumpulan itu mendakwa Beijing menimbulkan cabaran sistemik kepada negara lain.
Para pemimpin NATO pada hari Isnin telah mengambil sikap tegas terhadap Beijng dalam sidang kemuncak yang diadakan di Brussels.
“Cita-cita dan perilaku tegas China menyatakan cabaran sistemik terhadap perintah antarabangsa berdasarkan peraturan dan bidang yang berkaitan dengan keselamatan perikatan,” kata pemimpin NATO.
Sementara itu, Presiden AS, Joe Biden telah mendesak rakan pemimpin NATO untuk menentang autoritarianisme (sistem kepimpinan di mana pemimpin mempunyai kuasa mutlak) China dan kekuatan ketenteraan yang semakin meningkat.
Bagaimanapun, kenyataan NATO telah mendapat tentangan hebat daripada Beijing yang mengatakan pernyataan kumpulan itu adalah untuk memfitnah pembangunan damai China dan menunjukkan mentaliti Perang Dingin.
Melalui pernyataan yang dikeluarkan menerusi laman web misinya ke Kesatuan Eropah, China memberitahu bahawa mereka tidak akan menimbulkan tentangan sistemik kepada mana-mana negara.
Sidang kemuncak NATO berlangsung pada hari Isnin, sehari selepas pertemuan negara-negara G7 di Britain, di mana para pemimpin telah bersatu untuk menentang pelanggaran hak asasi China dan menuntut siasatan penuh mengenai asal-usul coronavirus.