Menjelang hari pelancaran niaga hadapan Ether (ETH) di Chicago Mercantile Exchange (CME) sebanyak 388 kontrak telah didagangkan, membawa kepada 19,400 ETH atau $33 juta.
Laporan itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan CME, Tim McCourt pada hari ini, menyifatkan pelancaran tersebut telah menerima sambutan yang memberangsangkan terhadap matawang kedua terbesar selepas Bitcoin (BTC).
Kali pertama CME mengumumkan pelancaran niaga hadapan ETH adalah pada pertengahan Disember 2020.
Setiap satu kontrak itu mewakili 50 ETH dan diselesaikan dalam bentuk tunai, berdasarkan kepada CME CF Ether Dollar Reference Rate iaitu platform mekanisme penemuan harga bagi ETH. Minimum perdagangan ditetapkan pada 5 kontrak.
Niaga hadapan ETH sebenarnya bukan sesuatu yang baru kerana sebelum ini CME juga ada melancarkan niaga hadapan bitcoin iaitu pada 13 Januari 2020.
Menurut McCourt, pada hari pertama pelancaran sebanyak 1000 kontrak niaga hadapan bitcoin didagangkan. Menjelang Disember, minat terbuka niaga hadapan bitcoin mencecah hampir $1.5 bilion.
McCourt juga akui ketika ini pihak mereka sudah menerima tekanan untuk penambahan penawaran bagi produk lain. Pada masa yang sama, dia juga berminat untuk melihat peningkatan minat susulan daripada pelancaran niaga hadapan ETH hari ini.
Ketika penulisan, Ethereum didagangkan pada harga $1,712, melonjak hampir 7% dalam tempoh 24 jam. ETH juga mencatat harga paras tertinggi sepanjang masa pada $1,770 tengah malam tadi.