Menjelang penerbitan data ekonomi China pada Isnin, pasaran kini mula resah dengan jangkaan menyuramkan yang dipengaruhi oleh beberapa faktor utama.
Prospek ekonomi kedua terbesar di dunia itu menjadi suram sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan kemerosotan dalam pasaran hartanah dan kekurangan tenaga elektrik yang memaksa kilang untuk menghadkan pengeluaran atau menghentikan sepenuhnya.
Beijing terus mengetatkan sekatan pada pasaran hartanah dalam usaha untuk mengekang risiko kewangan, menyebabkan kemerosotan dalam pembinaan dan memburukkan lagi krisis yang dialami Evergrande.
Penjualan gabungan 100 pemaju teratas China merosot 36% tahun ke tahun pada bulan September, yang secara tradisinya merupakan musim puncak penjualan rumah.
Ini akan memberi kesan besar terhadap ekonomi secara lebih luas, kerana menurut Goldman Sachs, sektor hartanah dan berkaitan dianggarkan hampir seperempat dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China.
Masalah kekurangan tenaga elektrik juga telah mendorong kilang-kilang mengentukan pengeluaran pada separuh kedua bulan September, menyebabkan indeks PMI merosot di bawah 50 untuk pertama kali sejak pandemik bermula tahun lalu yang menandakan penguncupan dalam sektor pembuatan.
Selain itu, penggunaan yang lemah turut membebankan pertumbuhan negara, ketika China melaksanakan polisi ‘sifar Covid-19’ untuk membendung wabak itu ketika kebangkitan semulanya pada pertengahan Julai.
Bagaimanapun, di sisi lain, ekonomi China dipertahankan oleh eksport yang berkembang pesat. Pertumbuhan eksport yang tidak dijangka pada September merupakan satu berita baik buat Beijing yang turut menyokong pengukuhan yuan pada tahun ini walaupun prospek pertumbuhan semakin buruk.
Sekiranya pertumbuhan ekonomi China kurang menepati jangkaan pasaran untuk menurun, ia mungkin akan memberi impak pada sentimen matawang pada awal minggu depan.