Menjelang mesyuarat polisi Reserve Bank of New Zealand (RBNZ), terdapat spekulasi yang mengatakan bahawa bank pusat itu mungkin akan memberi isyarat mengenai kesediaannya untuk mengetatkan dasar monetari akhir tahun ini.
Terdahulu, pada mesyuarat dasar sesi Mei, bank pusat melihat kadar faedah akan mula dinaikkan pada September 2022.
Namun, dengan data-data ekonomi yang terus menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan, para penganalisis kini melihat bahawa RBNZ akan meningkatkan kadar lebih cepat daripada dijangkakan.
Pada minggu lalu, ASB Bank meramalkan bahawa bank pusat akan meningkatkan kadar faedahnya pada bulan November 2021 berbanding jangkaan awal untuk kenaikan pada pertengahan 2022.
Ini susulan penerbitan data tinjauan keyakinan perniagaan yang menunjukkan syarikat-syarikat semakin yakin untuk meningkatkan kos yang lebih tinggi dengan menaikkan harga.
Selain itu, bacaan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kuat pada bulan Jun, turut memberi alasan untuk optimisme pasaran setelah ia meningkat 1.6% berbanding 0.5% yang dijangkakan.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, risiko yang besar masih ada. Sempadan New Zealand masih banyak ditutup untuk negara-negara luar dan kadar vaksinasi yang masih lagi rendah menyebabkannya rapuh di mana serangan Covid-19 boleh menimbulkan ancaman besar.
Ketika penulisan, dolar kiwi didagangkan stabil namun masih berada di sekitar tahap terendah bulanan berbanding US dolar pada 0.6985.