Pada malam tadi Litecoin (LTC) mencatatkan lonjakan harga yang mendadak susulan daripada pemberitahuan bahawa rangkaian ini akan bekerjasama dengan pasaraya terkemuka Amerika Syarikat (AS), Walmart.
Daripada nilai dagangan yang direkod pada $170, LTC meningkat $60 kepada paras $230 sekitar jam lewat 9 malam waktu tempatan.
Namun pelabur diminta untuk tidak terlalu teruja kerana pengasas LTC, Charlie Lee pada awal pagi tadi menyangkal berita tersebut, menjelaskan ia adalah sekadar “fake news”.
Pada masa yang sama, Walmartmenerusi artikel yang dimuatnaik di laman web rasminya turut menolak dakwaan GlobeNewswire: “Kami tidak tahu sebarang khabar yang diterbitkan oleh GlobeNewswire, dan ianya tidak benar. Walmart tiada kaitan dengan Litecoin.”
GlobeNewswire mula terbit berita itu pada sekitar jam 9 malam waktu tempatan. Bagaimanapun, ketika penulisan, artikel tersebut telah dipadam.
Pihak media itu juga ada memuatnaik pemberitahuan rasmi, meminta untuk kesemua jurnalis dan pembaca untuk mengabaikan ralat tersebut.
Litecoin mencatatkan harga semasa $180.42, meningkat hampir 1% dalam 24 jam. Aset ini telah mencatatkan penyusutan lebih 24% sejak ketinggian harga harian yang direkod pada malam tadi.