Bagai laut yang ada pasang surut.
Saham Tesla kembali naik selepas sesi penjualannya pada Selasa, sehari selepas Ketua Eksekutif syarikat, Elon Musk menjual pegangan saham miliknya sebanyak $930 juta.
Peningkatan tersebut turut menyaksikan saham pembuatan kereta eletrik (EV) lain seperti Rivian Automotive dan Lucid Group mencatat kenaikan.
Saham Tesla mencatat kenaikan 4.1% pada $1,054.73, dan pada masa yang sama permodalan pasarannya turun sekitar $187 bilion sejak Musk memulakan penjualan sahamnya minggu lalu.
Sementara itu, saham Rivian melonjak 15% di mana syarikat itu telah mencatat kenaikan sebanyak 120% sejak tawaran awam awal (IPO) pada hari Rabu lepas, sekaligus menyaksikan permodalan pasarannya meningkat sebanyak $147 bilion dan berjaya mengatasi Volkswagen AG yang hanya memiliki $8 sahaja.
Sementara itu, Lucid Group turut meningkat hampir 24% selepas syarikat itu menyatakan tempahan bagi keretanya meningkat 13,000 unit pada suku ketiga dan menjangkakan akan mengeluarkan sebanyak 20,000 sedan Lucid Air pada 2022 kelak. Keuntungan saham Lucid tersebut meningkatkan lagi nilai pasaran sahamnya kepada $90 bilion untuk mengatasi Ford Motor.
Terdahulu, Musk telah menjual 943,091 unit saham selepas menggunakan opsyen untuk membeli 2.1 juta saham pada $6.24 setiap satu pada Isnin. Sepanjang beberapa minggu lepas Musk telah menjual hampir 7.3 juta saham Tesla dengan harga $7.8 bilion bagi mengotakan janji yang telah dibuat dalam satu tinjauan di Twitter peribadinya.
Pasaran Wall Street menyaksikan permintaan yang tinggi bagi EV telah membuatkan saham Tesla mencanak lebih 150% dalam tempoh 12 bulan yang lalu.