AmInvestment Bank mengekalkan saranan ‘overweight’ untuk sektor minyak dan gas (O&G) selepas didorong oleh prospek yang lebih baik meskipun aliran pesanan agak lemah pada suku keempat 2020 (Q42020).
Dalam laporan berkenaan sektor itu hari ini, bank pelaburan berkenaan berkata, tidak termasuk kontrak kerja-kerja am, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Serba Dinamik di Emiriah Arab Bersatu (UAE), kontrak-kontrak baharu yang diberikan kepada pengendali Malaysia pada tahun lalu merosot sebanyak 42% tahun ke tahun kepada RM6.6 bilion.
“Bagaimanapun, sekiranya termasuk projek besar UAE kepada Serba Dinamik, pesanan baharu untuk tahun lalu sebaliknya meningkat 38% tahun ke tahun kepada RM15.8 bilion.
“Pelancaran projek baharu masih lagi perlahan pada Q42020 dengan kontrak baharu menyusut 32% tahun ke tahun kepada hanya RM1.5 bilion,” ujarnya seperti dilaporkan oleh Bernama.
Namun begitu, tambah AmInvestment Bank, angka tersebut masih lagi baik berbanding paras terendah dalam tempoh tiga tahun yang dicatatkan pada suku pertama 2020 iaitu sebanyak RM569 juta dan ini disokong oleh impak terburuk Covid-19 telah berakhir di celah-celah prospek pengukuhan aliran pesanan pada separuh kedua 2021.
Sementara itu, dari segi keputusan kewangan suku keempat tahun kewangan 2020, bank pelaburan berkenaan menjelaskan lima daripada sembilan syarikat di bawah liputannya mempamerkan prestasi dalam jangkaannya dan tiga lagi melebihi jangkaan mereka.