Harga minyak mentah merosot lebih rendah pada awal perdagangan sesi Asia, jatuh dari puncak ketinggian 3 tahun yang dicapai pada awal minggu.
Dagangan minyak mentah Brent susut rendah ke sekitar harga $70.79 setong, sementara WTI Amerika Syarikat pula suram di sekitar harga $68.58 setong.
Kebimbangan terhadap pemulihan global kembali membelenggu pasaran, setelah menyaksikan bacaan data dari China yang mengecewakan.
Import minyak mentah China jatuh ke paras terendah 5 bulan sebanyak 14.6% pada bulan Mei, setelah mencatat tahap tertinggi tahunan pada bulan sebelumnya. Ini didorong oleh penyelenggaraan di kilang yang telah membataskan permintaan terhadap minyak.
Hal ini menyebabkan keyakinan pelabur untuk melihat pemulihan lebih kuat dalam permintaan minyak mentah kembali goyah.
Sementara itu, para pelabur kini menantikan hasil rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat pada 10 Jun.
Kesepakatan itu boleh menyebabkan peningkatan pengeluaran minyak mentah Iran sebanyak 500,000 tong tetapi kebanyakan penganalisis tidak perjanjian akan berlaku sebelum pemilihan presiden Iran minggu depan.