Awal dagangan sesi Asia memperlihatkan dolar greenback sedikit susut dari paras tertinggi satu bulan yang dicapai pada sesi sebelum ini, sementara matawang utama pula mula mencatatkan peningkatan.
Indeks dolar didagangkan berlegar di sekitar 90.63 pada awal perdagangan sesi Asia, setelah melonjak pada 90.94 untuk pertama kalinya sejak akhir Disember.
Matawang sensitif risiko, dolar Australia dan New Zealand didagangkan meningkat berbanding US dolar ketika fokus utama pasaran hari ini tertumpu kepada keterangan calon Setiausaha Perbendaharaan, Janet Yellen di hadapan Jawatankuasa Kewangan Senat.
Menurut pernyataan yang disiapkan, Yellen akan memberitahu jawatankuasa bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan besar dalam pakej bantuan Covid-19 yang berikutnya.
Sementara itu, matawang euro mula mendaki lebih tinggi selepas susut ke paras terendah enam minggu dengan tumpuan pasaran kini disasarkan kepada penerbitan laporan sentimen ekonomi ZEW Jerman pada hari ini.
Menteri Kewangan Zon Eropah berjanji akan terus memberi sokongan fiskal untuk ekonomi dan membincangkan rancangan pemulihan selepas Suruhanjaya Eropah memberi amaran bahawa krisis Covid-19 menyebabkan ketidakseimbangan ekonomi blok itu semakin buruk.
Matawang pound turut meningkat selepas Presiden Donald Trump mengeluarkan arahan untuk mengangkat semula larangan masuk terhadap rakyat Eropah dan UK mulai 26 Januari.
Dalam pada itu, dolar Kanada sedikit meningkat setelah jatuh ke paras terendah satu minggu susulan laporan yang menyatakan Presiden terpilih Joe Biden akan membatalkan kelulusan untuk projek pembinaan saluran paip Keystone XL, pada hari pertama beliau di White House.