Trump Keluar Arahan Terakhir?

853

Meskipun tempoh pemerintahannya semakin singkat, namun Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dilihat masih ‘bekerja keras’ apabila beliau mengeluarkan arahan terbaharu untuk menarik balik larangan masuk terhadap rakyat Brazil dan kebanyakan negara Eropah mulai 26 Januari.

Reuters pada November lalu melaporkan pentadbiran Trump telah mempertimbangkan sekatan berkenaan yang dilaksanakan awal tahun lalu susulan penularan pandemik Covid-19.

Minggu lalu, ketua Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan, Marty Cetron menandatangani arahan yang memerlukan semua pelancong untuk mengemukakan ujian coronavirus yang negatif atau bukti mereka telah sembuh daripada Covid-19 sekiranya memasuki AS mulai 26 Januari.

Ujar Cetron, larangan kemasukan yang dilaksanakan merupakan strategi tindakan awal untuk menangani penyebaran virus dan harus dipertimbangkan secara aktif ketika ini.

Mereka yang berada di Brazil, United Kingdom (UK), Ireland dan 26 negara di kawasan Schengen di Eropah dalam tempoh 14 hari terakhir, dilaporkan akan dibenarkan untuk memasuki AS sebaik sekatan itu ditarik balik.

Dalam pada itu, industri penerbangan AS berharap syarat ujian kesihatan baharu itu akan membuka jalan kepada pentadbiran AS untuk menarik balik sekatan perjalanan, yang telah mengurangkan kedatangan para pelancong dari beberapa negara Eropah sebanyak 95%.

Reuters sebelum ini melaporkan White House tidak akan mempertimbangkan untuk menarik balik sekatan kepada pelancong yang baru-baru ini berada di China atau Iran.

White House bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen berhubung arahan terbaharu tersebut.

Bakal Presiden, Joe Biden dijangka akan mengenakan semula sekatan terbabit sebaik sahaja dilantik secara rasmi esok.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat