Harga emas sedikit meningkat pada sesi Asia selepas dihentam ke paras terendah tujuh minggu pada sesi sebelum ini susulan pengukuhan dolar greenback dan hasil bon AS yang tinggi.
Perubahan hawkish minggu lalu oleh Federal Reserve (Fed) AS telah mendorong hasil perbendaharaan AS 10 tahun ke paras paling tinggi sejak pertengahan Jun pada 1.55%, dan memacu dolar greenback ke tahap ketinggian 11 bulan berbanding pesaing utamanya.
Ini menyebabkan logam berharga itu susut ke tahap terendah $1,727 per auns, sebelum kembali meningkat untuk didagangkan pada sekitar harga $1,740 per auns ketika sesi Asia.
Kenaikan ini mungkin berpunca dari kenyataan Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen yang mengatakan kebimbangannya terhadap had hutang negara yang masih gagal dinaikkan.
Sekiranya had hutang tidak dinaikkan, ia akan menyebabkan malapetaka dalam pasaran kewangan, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap dolar sebagai matawang rizab, kata Yellen ketika berucap di hadapan Kongres pada sesi sebelum ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jerome Powell yang turut memberi keterangan di hadapan Kongres pula mengatakan inflasi dilihat lebih membimbangkan sekarang ini berbanding pada awal tahun.
Bagaimanapun, ekonomi AS masih jauh dari mencapai pekerjaan maksimum, komponen penting dari keperluan bank pusat untuk menaikkan kadar faedah, katanya.