Ketidakpastian dilihat masih membelenggu pasaran ketika permulaan dagangan sesi Eropah, yang memperlihatkan pergerakan matawang masih tidak menentu.
US dolar sedikit susut selepas meningkat pada sesi dagangan Rabu yang disokong oleh laporan minit mesyuarat FOMC, di mana beberapa pembuat dasar dikatakan bersedia untuk berbincang mengenai pengurangan pembelian bon (tapering).
Bagaimanapun, peningkatan yang dicatatkan tidak ketara kerana para pembuat dasar melihat pemulihan ekonomi Amerika Syarikat masih jauh lagi dari sasaran pekerjaan dan inflasi yang ditetapkan sebelum ini.
Malah, data pekerjaan NFP sebelum ini juga memaparkan bacaan yang lebih lemah dari jangkaan walaupun inflasi terus menunjukkan peningkatan.
Niaga hadapan pasaran saham AS juga dilihat didagangkan lebih rendah, dengan indeks S&P 500 susut 0.3% dan indeks Dow Jones pula susut hampir 0.5%.
Sementara itu, matawang pound susut dengan pergerakan yang dipaparkan masih di sekitar harga yang sama iaitu pada $1.4100 berbanding USD.
Matawang euro pula didagangkan di bawah harga $1.2200, susut dari paras ketinggian 4 bulan yang dicapainya pada Rabu meskipun Eropah akan dibuka semula secara beransur-ansur.
Tumpuan pasaran seterusnya akan terarah kepada data PMI pembuatan dan perkhidmatan Zon Eropah dan UK yang bakal diterbitkan pada sesi Eropah esok, dengan jangkaan aktiviti ekonomi akan terus menunjukkan peningkatan pada bulan Mei.
Di sisi lain, dolar Kanada juga mencatat penyusutan berbanding greenback ketika harga minyak mentah turut mempamerkan penurunan. Namun begitu, matawang komoditi itu masih didagangkan di sekitar paras tertinggi 3 setengah tahun.