US dolar terus mendahului pengukuhan berbanding pesaing utama lain pada awal minggu walaupun sedikit terkesan dengan kejatuhan dalam hasil bon perbendaharaan ketika pembukaan sesi Asia.
Hasil bon AS 10 tahun menjunam rendah pada 1.26%, selepas ditutup di sekitar tahap 1.3% pada Jumaat lalu. Sementara indeks dolar pula didagangkan stabil pada 92.70 berbanding kebanyakan matawang utama.
Bacaan data ekonomi AS pada Jumaat lepas, telah memberi sokongan kepada US dolar untuk terus menguat meskipun bacaan yang dipamerkan bercampur-campur.
Jualan runcit AS kembali mencatat pertumbuhan pada bulan Jun dengan kenaikan sebanyak 0.6% daripada penguncupan 1.7% yang disemak semula pada Mei, dan jauh melebihi jangkaan pasaran untuk penurunan 0.4%.
Selain itu, jualan runcit teras AS juga menunjukkan bacaan yang positif dengan meningkat 1.3% pada bulan lalu, daripada penguncupan 0.9% yang disemak semula pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, dalam satu data berasingan, sentimen pengguna di AS dilaporkan menurun dengan mendadak pada awal bulan Julai ke tahap terendah lima bulan disebabkan kebimbangan terhadap inflasi yang melemahkan keyakinan pasaran terhadap pemulihan ekonomi.
Dalam pada itu, perkembangan mengenai penularan Covid-19 dilihat semakin membimbangkan, lebih-lebih lagi wabak itu dilaporkan menyerang semula AS, di mana angka kes jangkitan New York mencatatkan kenaikan paling tinggi sejak pertengahan Mei.
Di UK, Menteri Kesihatan Sajid Javid disahkan dijangkiti Covid-19, sekali gus menambahkan kebimbangan pasaran terhadap kes jangkitan yang semakin meningkat menjelang pembukaan semula seluruh ekonomi di negara itu.
Kekhuatiran ini telah membenam matawang pound untuk diniagakan lebih rendah pada 1.37530, membawanya semakin hampir ke paras terendah tiga bulan berbanding US dolar pada awal sesi Asia.